Maaf Bebeh
Lepas pulang menyemadikan bebeh di tepi jalan. Saya balik rumah angkat kain yang terbengkalai. Kain basah sikit sebab hujan renyai sekejap-sekejap. Sambil angkat kain, saya teringatkan bebeh yang sudah lebih satu dekad lebih melayari kehidupan onak dan duri bersama saya. Ini menjadikan hati sayu. Bebeh banyak berjasa. Tidak kurangnya, kadangkala Bebeh dihina, di sindir. Bila dipandang enteng, selalunya saya minta penumpang supaya memohon maaf kerana Bebeh tidak harus dilayan sebegitu rupa. Meskipun dia semakin lumpuh dan sudah lanjut usia namun mereka tidak harus memandangnya rabun.
Kadangkala penumpang lepas geram dan marah, habis Bebeh jadi mangsa keadaan. Saya mohon maaf atas perilaku-perilaku dan kes-kes penderaan yang selama ini Bebeh terpaksa telankan dan diamkan. Meskipun penumpang memohon maaf, namun saya yang berhati salju ini tidak mampu melebih teriak dan hanya mampu mengukir senyuman penuh makna. Di hati siapalah yang tahu. Saya tahu Bebeh sedang menangis kesakitan. Selalunya lepas di hambat kononnya secara tidak sengaja, saya akan bawa Bebeh pegi makan aiskrim, makan-makan angin, usap, belai, nyanyikan lagu sepatah dua atau berikan urutan spa moderate kepadanya.
Saya mohon maaf Bebeh.. memandangkan saya wanita asli yang tidak suka memikirkan tentang bahagian-bahagian rumit sisi penting jantung dan hati (enjin dan sebagainya). Akibatnya, Bebeh selalu ikut sama terjebak akan tindak tanduk spontan saya yang adakalanya beri perkhabaran gelak dan tawa, namun begitu tidak kurang juga disertai sorotan kisah-kisah bencana.
Oleh kerana saya seorang yang alergik pada kucing, maka keterujaan lebih terarah kepada Bebeh, sang manja. Asal boleh saja, saya hanya ligat kayuhkan dan mengheretnya ke sana ke mari tanpa usul periksa kondisi jantung dan hatinya. Gigihnya Bebeh sanggup berkorban dan bersusah untuk saya selama bertahun ini. Dia bersama saya saat suka dan duka. Selalu hiburkan hati yang lara. Oleh kerana keutuhan itu, saya akan senatiasa berterusan rasa sebak bila Bebeh jatuh sakit.
Akan bersambung...

.jpg)
Ulasan
Catat Ulasan