Budi yang tabah II

Saya tak menipu bilamana saya beritahu Remy Ishak bahawasanya saya amat gemarkan wataknya, Budi dalam cerita 29 Februari. 

Kronologi, soroton latar belakang dan anjakan kisah dari zaman ke zaman agak saling berkaitan. Paparan jalan ceritanya tersurat dan keluar dari kepompong cerita melayu yang biasa-biasa.

Saya menggemari lagu muzikal nyanyian Budi dan kekasihnya. Namun saya tak dapat mengingati lagunya kerana saya terlupa lirik. Akibat keterlupaan itu, saya diusik..."Sebenarnya you suka Budi atau suka Remy kah?"

Kahkahkah. Mohon fokus.

Saya lihat watak Budi itu orangnya sangat setia, gigih, berhati padu dan utuh. Budi itu anak yang unik. Berbeza daripada orang lain. Usianya itu adalah satu kurnia dan anugerah.

Adapun mungkin kisah dan tempiasnya tersadur daripada kisah Benjamin si Butang, "Benjamin Button".

(Mungkin ini hanyalah kebetulan).

Sebenarnya Budi berhasrat untuk mengahwini kekasih hatinya itu namun terkandas di tengah jalan kerana bapa kekasihnya itu tidak merestui cinta mereka yang berlainan kaum, latar belakang dan darjat.

Setelah terpisah bertahun lamanya, akhirnya mereka bertemu semula.. itupun di akhir usia lanjut si gadis. Perbezaan usia dan pertemuan singkat tidak menghalang Budi untuk terus mencintai dan menemani kekasihnya itu sehingga akhir nafas.

Si gadis yang sudah tidak muda dan tidak sejelita seperti dulu lagi, masih dipandang jelita di mata Budi. Si gadis yang merindui Budi sepanjang usianya akhirnya meninggal dalam dakapan Budi yang masih muda, gagah dan kental. 

Ulasan

Catatan Popular