Dagu berlubang
Kalau bukan kerana terjatuh benjol hitam lebam di dahi sewaktu kecil di Kampong Selayang dulu, saya mungkin tidak akan menjadi begitu lain dan sengal seperti hari ini. Nenek tanya.. "Apa sudah jadi dengan dahi?" Saya jawab, "Saya berlari-lari tadi di benteng yang tinggi. Kemudian terjatuh menjunam ke bawah lantai simen yang keras".
Selepas kejadian, otak sebenarnya telah mengalami gegaran yang sangat kuat dan kencang. Meskipun sakit. Saya tidak menangis. Malah sempat bangun semula dan terus sambung berlari lagi.
** ** **
Suatu hari, sambil tengok cerita kartun kegemaran, saya makan keropok ikan cecah sos tomato. Sambil mendagu seperti tuan puteri kecil di atas lantai, saya suap keropok ikan dalam mulut satu persatu. Malang memang tak berbau. Ketika sedang asyik menyuap keropok masuk dalam mulut, dengan tidak semena-mena, tangan yang menongkat dagu (itu) tiba-tiba tergelincir dan tersadung mengenai permukaan lantai yang licin.
"ADIK.. ada darah kat dagu tu..!", Kakak tegur saya.
"Mana ada.. Ni sos tomato lah..", saya beritahu kakak. Biasa-biasa saja.
"Adik, ada darah!! Ada darah kat dagu tu!", kakak jerit.
"Mana ada. Ni sos tomato ni lah!!", saya balas jeritan.
Saya lap sos tomato di dagu berkali-kali. Namun ia tak berhenti-henti keluar dan menitis di atas lantai. Kakak minta saya perhatikan punca sos tomato di cermin. Setelah dipaksa kakak, saya segera menyelidiki wajah di cermin. Setelah mengetahui bahawasanya dagu saya cedera parah dan berlubang, dan sos tomato sebenarnya adalah darah! Barulah saya meraung dan menangis dengan sekuat-kuatnya tanpa ragu-ragu lagi.

.jpg)
Ulasan
Catat Ulasan