Bimba & Lola
Dua ekor itik peliharaan belakang rumah saya perhatikan sedari mereka kecil lagi. Seekor jantan dan seekor lagi betina, saya gelarkan mereka pasangan itik (laki bini) --Bimba & Lola.
Bimba si itik jantan dan Lola si itik betina. Mereka comel dan kerdil. Mereka berdua cantik sekali. Semakin menganjak usia, salah satunya telah jatuh sakit. Lola diserang penyakit leher torticollis atau teleng.
Bila Lola berjalan, lehernya yang teleng dan senget menyukarkan pergerakan dan gerak badannya jadi tidak seimbang. Selalunya langkah Lola senget benget. Sekali-sekala saya perhatikan, pada mulanya Lola berjalan seiring Bimba. Namun Lola kerap kali ditinggalkan di belakang. Ini kerana langkahnya sering terhenti barangkali keletihan menanggung beban leher teleng dan tidak seimbang.
Tak lama itu, Bimba pula diserang penyakit yang sama. Nah, kini langkah mereka kembali seiringan dan selari. Lola tidak lagi di tinggalkan di belakang.
Kata ayah, pasangan itik ini memang menghidap penyakit sebegini sedari mereka kecil. Namun begitu, saya merasakan Bimba seolah berbisik yang sebenarnya dia jadi begitu kerana mahu menemani Lola dan tidak mahu Lola menanggung beban kesakitan leher teleng seorang diri. Jadi, dia berpura-pura berpenyakit leher teleng supaya dia nampak kurang upaya seperti Lola.
Saya perhatikan Lola dari hari ke hari, dia nampak lesu dan mudah penat. Saya membuat andaian kononnya Lola menghidap penyakit kanser kerana bulunya semakin nipis dan berkurang. Keliling matanya hitam. Matanya nampak sakit. Saya dibelenggu rasa simpati tak berkesudahan.
Kemana-mana sahaja mereka selalu saja berdua. Apa sahaja aktiviti, mereka akan lakukan bersama-sama. Tetapi kebanyakkan masa Lola akan cepat mengalah dan terlebih dulu menghentikan langkahnya kerana dia mudah lelah dan letih. Setiap kali Lola merebahkan badan dan kepalanya di atas rumput, Bimba akan tetap ada disebelahnya sambil mendagukan dan menindihkan lehernya atas leher Lola.
"Bangun Lola, bangun sayang..", bisik Bimba.
Bimba minta Lola bangun cepat. Jangan mudah mengalah.
"Saya tak boleh bangun lagi. Saya letih abang", balas Lola. Nafas dan nadinya lemah.
Mendengarkan itu, Bimba jadi sayu. Dia cuba tabahkan hati dan beri sokongan.

.jpg)
Ulasan
Catat Ulasan