My only Bebeh
Selang beberapa hari Uqail lahir ke dunia, saya menyertai perjumpaan minum petang bersama ahli-ahli wanita Projek Hati Nurani di Harrods, KLCC--(Projek khas sekolah dalam hospital untuk pesakit kanak-kanak di hospital kelolaan isteri TPM).
Malang tak berbau. Dalam perjalanan ke sana, saya telah menghentam (kereta yang tak bersalah) secara tak sengaja. Salahkan Bebeh kerana brek mengejut sebaik tersedar dari lamunan yang menghanyutkan. Kerana cuai--anak lelaki mangsa yang duduk di kerusi hadapan bersama ibunya, terguris di leher. Bebeh pula remuk, bibirnya bocor dan suhu badannya naik mendadak.
Di tengah kesesakkan lalu lintas itu, saya memohon maaf berkali-kali kepada Encik Michael Raj (mangsa langggar dikenalpasti sebagai Penolong Penerbit Tamil Desk Bernama TV). Bumper keretanya patah dan bonet belakangnya tidak berfungsi. Insiden tidak sengaja ini berpunca dari kecuaian saya, maka saya berjanji akan selesaikan musibah yang menimpa kereta Encik Michael Raj dan keluarganya itu segera mungkin.
"Tak ada apalah. Awak jangan risau. Nanti saya bawa anak ke klinik buat check-up. Tapi awak mesti buat check up sekali ok?" Kata Encik Michael Raj. Dia melihat saya menahan kesakitan sebaik keluar dari kereta kerana perut terlanggar stereng.
Hati berkecamuk melihat Bebeh remuk. Namun begitu, misi perjumpaan bersama ahli wanita harus tetap diteruskan kerana ia adalah agenda penting. Boss yang menanti di seberang jalan, sudah bercekak pinggang kerana risau jikalau terlambat menyertai perjumpaan. Oleh itu, dengan gigihnya saya belai Bebeh perlahan-lahan dan semadikan beliau di parkir KLCC untuk sementara waktu dengan hati nan sayu.
Manisan kuih-kuih dan coklat yang ada dihadapan mata tak mampu memulih kecamuk jiwa ketika itu. Sejenak saya tersadai di luar balkoni sambil memikirkan pada siapa saya harus minta tolong, saya jadi kurang pasti. Yang pasti saya tidak mahu membebankan sesiapapun. Selalunya abang ipar yang sudi bantu saya bilamana Bebeh tersadai kehausan di tepi jalan. Lagi pula, dia tidak pernah membebel atau memandang Bebeh sebelah mata. Dia cuma tersenyum sinis. Asal senyum saja sudah memadai. Dia baru menyambut cahaya mata, masakan sampai hati pula saya mahu menyusahkannya. Jadi saya buntu. Saya tak boleh menyusahkan abang ipar. Saya juga tak mahu menyusahkan sesiapa (yang merasakan saya ini sangat menyusahkan bagi mereka).
Selepas tamat agenda jam 6 petang, saya terus tersadai di KLCC dan sempat menonton wayang kisah lucu lakonan Jim Carrey. Bantuan dari Selayang akan tiba selepas jam sepuluh malam memandangkan waktu itu lalu lintas kurang padat. Bebeh diberi nafas separuh masa di tepi jalan sebelum dibawa menopang ke bengkel. Kemudian, saya minta tolong Nadi dan papanya (yang berada berhampiran) datang menyelamatkan saya. Saya pulang ke rumah nenek larut malam.
Terima kasih kalian yang sudi membantu saya pada hari itu. Jasa kalian semua saya ingat tepat-tepat dalam hati.

.jpg)
Ulasan
Catat Ulasan